Welcome To Cik Puan Muda In Da Houzzzze!

blog ini dinamakan Mr.2nd Diary sebab ianya disediakan bagi tujuan Putri nak meluahkan perasaan atau menitipkan apa2 yang pernah & sedang Putri baca. So pada sesiapa yang tengok blog ini, dipersilakan untuk komen & pada sesiapa yg tiada blog, boleh komen tapi sign nama anda sebagai anonymous oke? So sesiapa yg terasa ati dengan intipati yang ditulis dlm blog Putri ni,mohon maaf & diminta JANGAN TGK BLOG AKU KALO XSUKA! lagi satu, kalau nak saya jenguk blog kalian, sila tinggalkan link blog, saya xlayan kalau sekadar ajak tapi x tinggalkan ape2..sekian dr pihak atasan Cik Puan Muda in da houzzzzzee....tQ

Monday, 12 October 2009

1 Malaysia : Satu Analisa

Setelah lebih 50 tahun Malaysia merdeka, pemimpin negara masih lagi berjuang memperkenalkan pelbagai slogan dan kaedah bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama.

Terbaru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan konsep ‘Satu Malaysia’ yang bermotokan ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

Konsep ini diperkenalkan bagi mewujudkan satu uniti baru dikalangan masyarakat majmuk di bawah satu nama, Satu Malaysia. Sinisnya, tatkala konsep ini sedang sibuk dipromosikan oleh media perdana, kedengaran sumbang suara manyamakan konsep ini dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh parti Democratic Action Party (DAP).

Namun omongan kosong ini mudah ditangkis, parti United Malays National Organization (UMNO) mana mungkin menggadaikan sifat ultra-Melayunya dalam soal kepimpinan negara. Sifat ini paling menebal dan hanya sekuat mampu dilonggarkan, itu pun akan mendapat tentangan hebat daripada golongan konservatif dalam parti itu.

Antara kegagalan utama kerajaan Barisan Nasional dan mungkin kerajaan hampir diseluruh dunia adalah memecahkan blok-blok pemikiran berlandaskan perkauman dikalangan rakyat dan pemimpin politik. Negara yang mendakwa dirinya sebagai paling bertamadun juga masih gagal memecahkan blok perkauman, buktinya masih berlaku sikap prejudis dan penindasan ke atas warganya yang berkulit hitam. Kemenangan Mubarrak Hussein Obama? Itu kenyataan yang masih boleh dipertikaikan jika dinilai daripada sudut pilihan, keterampilan, dan strategik politik ketika pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) berlangsung.

Memikirkan penyelesaian kepada isu ini dalam konteks negara Malaysia, Perdana Menteri (PM) Malaysia ke-6 kelihatan begitu optimistik dalam memperkatakan tentang konsep ‘Satu Malaysia’. Konsep ini pada pengamatan awal diharap sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jurang jika pun gagal memecahkan blok-blok pemikiran yang berlandasan perkauman. Namun, kepimpinan baru ini perlu berani tampil dengan idea-idea baru walaupun ia mungkin akan mencantas imej lapok mereka sebagai pejuang satu ‘bangsa’.

Antara perkara awal yang wajar dilakukan untuk merealisasikan konsep ini adalah kembali di’tajdid’kan media rasmi milik kerajaan. Media ini tidak hanya berkisar media milik UMNO seperti Utusan atau Radio Televisyen Malaysia (RTM), tetapi juga media-media di bawah penguasaan parti-parti politik yang lain.

Apa yang perlu ditajdidkan adalah kaedah penyampaian, interpretasi berita, fokus utama berita, dan ketelusan maklumat. Masalah utama media milik parti-parti politik adalah terlalu membicarakan segala isu dalam sesebuah bangsa yang diwakilinya seperti survival bangsa, betapa bangsanya terancam, bangsanya yang ditindas, bangsanya dilayan seperti kelas kedua, bangsanya yang dipinggirkan, dan sebagainya. Masalah ini tidak hanya berlaku pada media milik UMNO seperti Utusan Melayu, ia juga berlaku pada media milik parti Malaysian Chinnese Association (MCA) dan lain-lain parti politik.

Imej lapok dan konservatif ini perlu kembali dicorakkan dengan imej baru yang mana media bercakap tentang survival masyarakat Malaysia tanpa perlu memfokus pada mana-mana bangsa atau kaum tertentu.

Media juga perlu hadir sebagai wacana ilmu yang membicarakan isu kemiskinan, ekonomi, budaya dan sosial merentasi sempadan bangsa.

Melayu, Cina dan India adalah berbeza, mana mungkin boleh duduk pada kerusi yang sama? Silapnya media selama ini adalah apabila terlalu memperbesarkan isu berbezaan namun kurang menekankan persamaan yang dikongsi bersama.

Sering kali yang menjadi tajuk utama media adalah betapa putihnya bangsa kita, dan betapa hitamnya bangsa lain. Kita terlalu menekankan betapa sucinya adat dan budaya kita, sehingga kadangkala menimbulkan perasaan bahawa Malaysia ini hanya wajar dilihat pada satu identiti bangsa sahaja.

Media sewajarnya meraikan persamaan yang dikongsi setiap insan tanpa mengira bangsa atau agama. Setiap insan berkongsi banyak persamaan tanpa perlu diketahui bangsanya, agamanya, atau ideologi politiknya. Betapa insan ini berkongsi sifat mencintai keamanan, memusuhi kezaliman, berbelas kasihan, tolong-menolong, saling menghormati, dan pelbagai lagi persamaan yang sewajarnya diraikan bersama.

Jika yang ditonjokan itu betapa kita dan yang lain itu berbeza, maka sukar untuk kita bertemu persamaan hatta pada satu titik. Jika media boleh dilakukan perubahan atas kapasiti empunya milik, namun cabaran terbesar dalam memecahkan blok-blok pemikiran perkauman ini adalah mengubah cara fikir masyarakat Malaysia.

Tajdid fikir ini memerlukan kempen yang hebat dan juga berteruskan agar pemikiran masyarakat Malaysia sentiasa bersedia melakukan sebarang perubahan dan anjakan paradigma. Perubahan ini melalui tiga fasa utama iaitu cara melihat sesuatu isu, cara berfikir, dan tindakan.

Bermula dengan fasa pertama iaitu cara melihat sesuatu isu, ia lebih kepada satu bentuk andaian awal terhadap sesuatu. Berbicara dalam konteks hubungan antara kaum, setiap anggota masyarakat harus mempunyai sifat bersangka baik dan tidak prejudis terhadap mereka yang tidak sebangsa. Realiti masa kini, hubungan kaum di Malaysia tampak baik, namun itu hanya saduran kerana persepsi negatif dan sikap prejudis pada bangsa lain masih dominan menguasai masyarakat di Malaysia.

Fasa kedua pula terarah kepada cara kita berfikir dalam menilai sesuatu isu atau permasalahan. Cara fikir lama yang beku seperti berfikir hanya pada kepentingan bangsa sendiri harus segera diluputkan, ia harus berfikir mewakili masyarakat Malaysia secara keseluruhannya tanpa perlu dibatasi pada mana-mana sempanan bangsa. Cara fikir ini selari dengan fikrah Islam yang menyeru umatnya berlaku adil hatta pada masyarakat bukan Islam.

Fasa ketiga dan yang terakhir iaitu tindakan yang mencerminkan hasil fasa-fasa tajdid fikir sebelumnya. Kejayaan fasa-fasa sebelumnya akan dinilai pada kaedah dan pelaksanaan tindakan yang diambil. Penilaian itu boleh bersandarkan pada jawapan bagi soalan-soalan berikut, Apakah masih ada bantuan hanya pada bangsa tertentu atas kapasiti bumiputera tanpa mengira kelayakkannya? Apakah masih wujud sikap hanya membantu rakan peniaga yang secerah warna kulitnya? Apakah masih berlaku tuntutan-tuntutan luar biasa atas alasan dirinya tertindas? Kesemua hal yang direncanakan ini adalah satu usaha ke arah membina masyarakat Malaysia yang berteraskan konsep ‘Satu Malaysia’.

Segala usaha yang menyeru ke arah pembaikan sistem sosial dan masyarakat seharusnya disambut baik oleh semua pihak tanpa perlu dipandang sinis. Ini kerana jatuh dan bangunnya negara ini, semua daripada kita yang bertanggungjawab ke atasnya.

Jika Malaysia itu ingin dimetaforakan sebagai bangunan, maka pemimpin adalah arkitek dan rakyat adalah pembinanya. Apa guna jika kita miliki pelan terbaik jika kita gagal membinanya.

Glosari:

1) Tajdid menurut Kamus Dewan membawa maksud ‘Menghidupkan kembali ajaran Rasulullah s.a.w. yang semakin ditinggalkan akibat amalan bidaah’.

Dalam bahasa Arab pula, ia bermaksud ‘Mengembalikan semula sesuatu kepada bentuk asalnya setelah ia rosak atau hilang bentuk keaslian tanpa mengurangkan apa-apa darinya atau menggantikannya dengan yang lain’.

Al-Qaradawi pula mengatakan tajdid sebagai ‘Mengembalikan sesuatu kepada bentuk asalnya, sehingga ia menjadi baru kembali walaupun ia telah lama. Ia berlaku sama ada dengan menguatkannya kembali ataupun menampung apa yang telah hilang daripadanya sehingga ia menjadi seperti asalnya’.

2) Konservatif - Ingin atau cenderung utk mengekalkan sesuatu keadaan yg wujud atau yg menjadi kebiasaan.

No comments: